Iklan

Wednesday, August 1, 2012

Majlis Berbuka Puasa Bersama Penduduk Taman Ixora dan Anak-anak Yatim serta Majlis Khatam Al-Quran


Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora dengan kerjasama  Persatuan Penduduk Taman Ixora dan Surau Balai Islam Taman Ixora akan mengadakan majlis berbuka puasa bersama penduduk Taman Ixora dan Anak-anak Yatim daripada Rumah Anak Yatim Baitus Sakinah, Kota Warisan dan majlis khatam al-Quran pada butiran berikut:

Tarikh : 5 Ogos 2012 (Ahad)
Masa : 6.00 petang hingga 10.30 malam
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora

Tentatif program adalah seperti berikut:
  • 6.00 petang
    • Majlis khatam al-Quran
    • Penyampaian cenderahati kepada peserta tadarus al-Quran
  •  7.20 malam
    •  Berbuka puasa dengan kurma dan bubur lambuk
  • 7.30 malam
    • Solat Maghrib berjemaah
  • 7.45 malam
    • Jamuan makan
    •  Penyampaian duit raya dan sumbangan kepada rumah anak yatim 
  • 8.45 malam
    • Solat Isyak berjemaah
    • Solat terawih 8 rakaat dan solat witir 3 rakaat
  • 10.30 malam
    • Jamuan moreh
Semua penduduk Taman Ixora dijemput mengimarahkan majlis yang akan diadakan. Penduduk juga digalakkan untuk membawa sedikit makanan mengikut kemampuan untuk dimakan bersama-sama pada majlis berkenaan.

Tuesday, July 24, 2012

Gotong-royong Memasak Bubur Lambuk Taman Ixora

Ketua Chef En Sabri bersama
Bendahari KRT sedang menyediakan bubur lambuk

Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Ixora dan Surau Balai Islam Taman Ixora telah mengadakan program memasak bubur lambuk pada butiran berikut:

Tarikh : 28 Julai 2012 (Sabtu)
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora
Masa : 8.00 Pagi hingga 4.00 Petang


Penduduk bersama Imam Tahfiz sedang
mengedar bubur lambuk kepada penduduk
Penduduk Taman Ixora telah bergotong-royong memasak bubur lambuk bermula dari membeli barang-barang memasak, memotong daging, mengupas bawang, mengacau bubur sehinggalah mengedarkan bubur lambuk kepada penduduk Taman Ixora di laluan masuk Taman Ixora.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Thursday, July 19, 2012

Pemasangan Papan Tanda KRT Taman Ixora Oleh JPNIN Sepang

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah Sepang pada Isnin telah memasang Papan Tanda KRT Taman Ixora di jalan masuk utama Taman Ixora berhadapan dengan Taska Nur Qaseh Jalan Ixora 1/6.

KRT Taman Ixora merakamkan penghargaan diatas pemasangan papan tanda tersebut.

Untuk rekod, KRT dengan peruntukan sendiri juga telah memasang papan tanda KRT pada 24 Februari yang lepas di lokasi yang berbeza.

Monday, July 16, 2012

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1433H (2012M)

Pengurusan dan Ahli Jawatan Kuasa Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1433H (2012M) kepada semua penduduk Taman Ixora yang dijangka bermula pada 21 Julai 2012 (Sabtu).



Sehubungan dengan itu satu program gotong-royong membersih surau bagi persediaan Ramadhan akan diadakan pada butiran berikut:

Tarikh : 19 Julai 2012 (Khamis)
Masa : 9.00 Malam
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora



Sehubungan itu juga, Surau Balai Islam Taman Ixora dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Ixora dan Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora juga akan menganjurkan beberapa aktiviti dan program sepanjang bulan Ramadhan pada tahun ini. Semua penduduk Taman Ixora dijemput untuk mengimarahkan surau sepanjang Ramadhan pada tahun ini. Semoga amalan kita pada Ramadhan tahun ini mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah S.W.T.

Friday, July 13, 2012

Akaun Twitter KRT Taman Ixora

Dimaklumkan bahawa, KRT Taman Ixora kini di Twitter @KRT_Ixora.
@KRT_Ixora

Follow kami @KRT_Ixora agar semua maklumat/berita berkaitan KRT dan sekitar Taman Ixora dapat disampaikan dengan segera melalui akaun Twitter anda sama ada melalui SMS, MobileApps, Web Mobile atau komputer anda.

Marilah kita gunakan teknologi ini untuk mengukuhkan dan memesrakan lagi kejiranan Taman Ixora.

http://twitter.com/KRT_Ixora

Nota: Untuk menerima/menghantar tweets KRT_Ixora melalui SMS, anda perlu Follow @KRT_Ixora dan turn on mobile notifications. Pastikan mobile phone anda telah didaftarkan di akaun twitter anda.

Monday, July 9, 2012

Sambutan Hari Perpaduan Peringkat Daerah Sepang dan Majlis Mesra Bersama IPD Sepang 2012

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Sepang telah mengadakan Sambutan Hari Perpaduan Peringkat Daerah Sepang dan Majlis Mesra Bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada ketetapan seperti berikut:
AJK KRT Taman Ixora yang hadir bersama-sama
En. Musa Othman & Puan Siti Hawa Hussin


Tarikh : 8 Julai 2012 (Ahad)
Masa : 8.30 pagi
Tempat : Dewan Serbaguna IPD Sepang

Sebanyak 38 KRT di dalam daerah Sepang dijemput hadir ke majlis berkenaan. KRT Taman Ixora telah diwakili oleh Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Penolong Setiausaha dan dua(2) orang ahli jawatankuasa. Diantara agenda pada majlis berkenaan adalah seperti berikut:

  • Ceramah Keselamatan oleh PDRM
  • Ucapan perasmian oleh Pegawai Daerah Sepang
  • Penyampaian watikah pelantikan Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga Daerah Sepang bagi tempoh 2012 hingga 2013
  • Majlis mesra bersama IPD Sepang

Majlis bersurai jam 12.30 tengahari.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Sunday, June 24, 2012

Kursus Pemantapan Dan Pengurusan Rukun Tetangga Peringkat Daerah Sepang Tahun 2012

Jawatankuasa tertinggi KRT Taman Ixora yang terdiri daripada Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari telah menyertai Kursus Pemantapan Dan Pengurusan Rukun Tetangga Peringkat Daerah Sepang Tahun 2012 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Sepang, Selangor yang telah diadakan seperti berikut:

Tarikh: 24 Jun 2012 (Ahad)
Masa: 8:30 pagi - 5:30 petang
Tempat: Auditorium, Makmal Meteorologi Kebangsaan, SIRIM Bhd, BBST

Friday, June 15, 2012

Mesyuarat SRS Zon A - KRT Taman Ixora

SRS Zon A - KRT Taman Ixora telah mengadakan mesyuarat pada butiran berikut:


Tarikh : 15 Jun 2012 (Jumaat)
Masa : 9.00 Malam
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora.


Diantara agenda dan perbincangan semasa mesyuarat berkenaan adalah:
  • Pelantikan ketua zon baru - En. Rohaizan (menggantikan En. Kamarual Rasidi)
  • Cadangan barbeque antara ahli SRS Zon A
  • Susun atur jadual rondaan yang baru
  • Merekrut ahli baru
  • Isu-isu untuk dibentangkan dalam mesyuarat J/Kuasa KRT.
Mesyuarat berakhir jam 10.30 malam.

Monday, May 7, 2012

Barbeque dan Majlis Suai Kenal Penduduk Jalan Ixora 1/14, 1/15, 1/16 dan 1/17


Pada 5 Mei 2012 (Sabtu), jam 9.30 malam, penduduk Jalan Ixora 1/14, 1/15, 1/16 dan 1/17 (SRS Zon C, KRT Taman Ixora) telah mengadakan barbeque sempena majlis suai kenal di antara penduduk. Penduduk Jalan Ixora 1/16 dan 1/17 baru berpindah masuk mulai awal tahun 2012. Majlis ini adalah merupakan pertemuan pertama kali diantara satu satu sama lain. Masing-masing telah bertukar nombor telefon dan bergotong-royong memasak makanan. Majlis telah dihadiri oleh lebih kurang 30 orang penduduk bersama keluarga.

Pada majlis berkenaan, pihak Polis juga telah dijemput untuk memberikan sedikit taklimat dan pendedahan mengenai isu-isu keselamatan di Taman Ixora. Ini adalah lanjutan daripada berlakunya kejadian pecah rumah di empat buah rumah di Jalan Ixora 1/17 pada awal bulan April yang lalu.

Sedikit taklimat mengenai Persatuan Penduduk Taman Ixora turut diberikan oleh Setiausaha PPTI mengenai pentingnya penduduk menyertai persatuan. Pelbagai aktiviti untuk faedah bersama telah dirancang oleh PPTI untuk manfaat semua penduduk Taman Ixora. Pada malam itu juga seramai tujuh orang penduduk telah menyerahkan borang keahlian.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan tahniah kepada penduduk jalan berkenaan yang telah mengambil inisiatif untuk beramah mesra diantara satu sama lain dan bekerjasama menyalurkan maklumat sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini di kawasan kejiranan berkenaan. Semoga aktiviti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan penduduk Taman Ixora.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Sunday, April 15, 2012

Gotong Royong Cegah Denggi 2012


Ucapan Perasmian Oleh En. Foo Weng Fui

Persatuan Penduduk Taman Ixora dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah mengadakan program Gotong-Royong Kawalan Wabak Denggi seperti butiran berikut:

Tarikh : 15 April 2012 (Ahad)
Masa : 8.30 Pagi
Tempat Berkumpul : Dataran Serbaguna Taman Ixora
Dirasmikan Oleh : En. Foo Weng Fui (Ahli Majlis Zon BBST Selatan)

Antara penduduk yang hadir
Program ini mendapat kerjasama daripada Pejabat Kesihatan Daerah Sepang dan Majlis Perbandaran Sepang. Pejabat Kesihatan Daerah Sepang telah mengadakan pameran dan menyampaikan ceramah mengenai kawalan dan pencegahan denggi kepada penduduk Taman Ixora. Majlis Perbandaran Sepang telah menyediakan lori sampah dan beberapa orang pekerja untuk membantu penduduk semasa kerja-kerja gotong-royong dijalankan.

Pameran Kesihatan Oleh
Pejabat Kesihatan Sepang
Program ini diadakan berikutan terdapat dua(2) kes demam denggi yang dilaporkan di kejiranan Taman Ixora dan Pejabat Kesihatan Daerah Sepang telah mengisytiharkan Taman Ixora sebagai kawasan wabak denggi.

Walaupun program ini kurang mendapat sambutan daripada penduduk Taman Ixora, sedikit sebanyak dapat mencegah kes demam denggi daripada menjadi lebih tidak terkawal di Taman Ixora.Penduduk Taman Ixora dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan kawasan rumah dengan mengambil masa 10 minit seminggu untuk membersihkan kawasan rumah daripada bekas/ sampah yang boleh menakung air dan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.